proton-hybrid

Kereta hibrid pertama nasional akan dilancar akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri.

Ia adalah fasa pertama pengeluaran kenderaan elektrik secara komersial yang dihasil dan dipasarkan Proton Holdings Bhd (PROTON) menerusi program pembangunan dan penyelidikan (R&D). PROTON membangunkan tiga jenis prototaip membabitkan 10 unit kenderaan bagi tujuan itu.

“Sehingga bulan ini, PROTON belum mampu untuk mengeluarkan hibrid dan kenderaan elektrik (EV) untuk jualan.

“Pada akhir tahun ini, kereta hibrid akan mula dikeluarkan, status jualan (harga) dan jumlah pengeluaran belum dimaklumkan lagi, tetapi PROTON memberi jaminan kereta akan dikeluarkan akhir tahun ini. Saya dapat komitmen daripada PROTON,” katanya menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak).

Azmin ingin tahu status pengeluaran kereta hibrid yang dibangunkan PROTON menerusi geran hampir RM1 bilion sejak beberapa tahun lalu masih tidak dikeluarkan sehingga kini.

Mengenai bantuan besar oleh kerajaan kepada syarikat automotif tempatan seperti PROTON, Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang, berkata dasar kerajaan sedia ada untuk semua syarikat tempatan termasuk Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA). “Mereka yang keluarkan kenderaan negara dan ia selaras Dasar Ekonomi Baru. Kita merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar dan penjual kenderaan berjumlah enam juta unit di peringkat ASEAN,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) mengenai kerjasama antara PROTON dan PERODUA bagi menghasilkan kereta hibrid tempatan dalam jumlah yang banyak pada harga berpatutan, Hamim berkata setakat ini belum ada kerjasama antara mereka

Sumber : Berita Harian

(6117) Views