Senarai Harga Terkini

JPJ Cadang Lantik Panel Bebas Selesai Masalah MySIKAP

my-sikapKUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang melantik sebuah panel bebas untuk mengkaji secara menyeluruh masalah berbangkit berikutan migrasi sistem pengkomputeran jabatan itu daripada sistem Sikap kepada sistem MySIKAP, bermula 1 Nov lepas.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata panel berkenaan akan mencari penyelesaian jangka panjang yang konkrit bagi mengelak gangguan sistem MySIKAP, yang telah menyebabkan proses urus niaga menjadi perlahan sehingga mengakibatkan pelanggan menunggu lama ketika berurusan di pejabat-pejabat JPJ.

“Panel bebas ini akan melihat sama ada vendor yang dilantik telah melaksanakan pembangunan sistem mengikut keperluan dan spesifikasi yang ditetapkan oleh jabatan,” katanya dalam kenyataan di sini, Isnni.

Beliau berkata JPJ juga mengarahkan vendor yang bertanggungjawab ke atas pembangunan semula sistem itu supaya meningkatkan keupayaan kerangka utama daripada 415 mips kepada 1,200 mips bagi menampung sistem JPJ.

Ismail berkata ia adalah antara langkah yang diambil JPJ untuk menyelesaikan masalah itu yang telah menimbulkan kegelisahan serta rasa tidak puas hati orang ramai apabila berurusan di pejabat JPJ.

JPJ juga membuka kaunter-kaunter perkhidmatan di semua pejabatnya di seluruh negara pada hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu di Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Sabtu dan Ahad bagi negeri lain.

“Pembukaan kaunter pada hujung minggu telah dimulakan sejak dua minggu lepas dan akan diteruskan sehingga sistem MySIKAP stabil,” menurutnya.

Beliau berkata JPJ turut menubuhkan bilik gerakan yang beroperasi setiap hari bagi memantau prestasi sistem itu dan menerima aduan daripada semua pejabat JPJ untuk tindakan penyelesaian serta-merta.

Sumber : BERNAMA

p/s : Kepada semua pelanggan kami yang sedang dalam proses pendaftaran harap bersabar dengan kelewatan disebabkan masalah ini yang tidak dapat kami elakkan.

(3167) Views