Senarai Harga Terkini

Kereta Kompak Proton Akan Dilancar 25 September 2014

PROTON-IRIZ

SHAH ALAM, 8 Sept (Bernama) — Kereta Kompak Proton (PCC) yang dibangunkan dengan kos RM500 juta dalam tempoh empat tahun lepas, dijangka dilancarkan pada 25 Sept ini di Tanjung Malim.

Dikuasakan dengan enjin baharu, model Proton ke-23 itu dibina di platform baharu di kilang Tanjung Malim, kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd Datuk Abdul Harith Abdullah.

Beliau berkata model itu akan dinamakan semasa majlis pelancaran rasminya.

Tempahan dibuka pada akhir minggu ini dan serahan akan bermula pada November, katanya pada majlis previu khas PCC kepada media, di sini, hari ini.

Abdul Halim berkata dari segi harga, ia akan kompetitif berbanding dengan varian utama dalam segmen B.

“Ia merupakan satu pembawa perubahan kerana kami tidak melancarkan sebarang model sudah agak lama dan segmen yang kami teroka ini juga merupakan segmen yang popular dan paling mampu milik dalam pasaran Malaysia.

“Model baharu itu juga mempunyai reka bentuk yang baik dengan banyak usaha dilakukan untuk menyempurnakan kejuruteraan dan reka bentuk kereta itu. Saya ingin menyatakan bahawa ini merupakan kereta terbaik yang anda boleh cari dalam pasaran segmen B,” katanya.

PCC tampil dengan tiga varian, iaitu eksekutif, premium dan standard, dengan kapasiti enjin 1300cc dan 1600cc.

Abdul Harith berkata tidak betul untuk menggelarkan PCC sebagai kereta kecil global kerana ia dikategorikan dalam segmen B, sebaliknya ia perlu dipanggil Kereta Kompak Proton.

“Oleh kerana ia kereta global, sebaik sahaja pasaran tempatan selesai, kami akan mula meneroka pasaran luar negara,” katanya.

— BERNAMA

(4105) Views