Senarai Harga Terkini

Proton Preve, Suprima S Dapat Penarafan Lima Bintang Ujian NCAP Asean

preve-suprima-s-ncapProton Preve dan Proton Suprima S telah dianugerahkan penarafan lima bintang dalam Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (NCAP).

Pengumuman tentang anugerah itu dibuat oleh NCAP Asean pada Pelancaran Keputusan Fasa III 2014 di Melaka, yang juga diadakan sempena Forum NCAP Global 2014, Melbourne, Australia, kata Proton dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata usaha Proton untuk mengubah tanggapan orang ramai tentang jenama dan kualiti kereta Proton kini terbukti dan diperkukuh selanjut oleh pencapaian terbaru ini.

“Kami amat berbangga dan berbesar hati menerima perakuan sedemikian tentang produk jenama kami. Seperti yang kami pernah ulangi berkali-kali, model-model kami bukan sahaja mampu milik, malah lebih penting lagi kami mahu pelanggan kami tahu produk kami berkualiti dan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Abdul Harith juga berkata daripada 12 kereta yang diuji bagi piawaian keselamatan NCAP ASEAN semasa Fasa III itu, Proton memberi saingan hebat dan mendapat tempat kedua.

“Kesejahteraan, keselesaan dan keselamatan pelanggan kami ketika memandu kereta Proton sentiasa menjadi keutamaan teratas kami. Jadi, apabila Proton Preve dan Proton Suprima S dibina, kami mencabar diri sendiri untuk menghasilkan kereta yang tinggi piawaian keselamatannya,” tegas beliau.

— BERNAMA

(3570) Views